Amerika Syarikat hari ini menjadi negara No.1 terbanyak kes COVID-19 di dunia. USA kini mempunyai 104,205 kes, mengatasi Itali 86,498 dan China 81,394.
Aku menentang dasar luar US sejak campurtangannya di Vietnam pada 1960an dan di banyak negara lain, lebih-lebih lagi apabila US menyokong Israel pada 1967 bagi menduduki dan menindas Palestin. Dasar luar imperialisme US tak berubah hingga kini di bawah Presiden Donald Trump.
Tetapi, aku harus akui bahawa Amerika Syarikat wujud sebagai sebuah negara demokrasi yang memperakui dengan jelas dan tegas akan pemisahan kuasa antara eksekutif (Rumah Putih), legislatif (Kongres) dan badan kehakiman.
Rumah Putih tak boleh bertindak sewenang-wenangnya, samada semasa aman atau perang, tanpa kelulusan Kongres. Penggunaan dana awam juga dipastikan mesti melalui suatu rang undang-undang yang memerlukan kelulusan Senat dan Dewan Perwakilan.
Dalam ketika dunia dilanda wabak COVID-19 kini, Presiden USA tidak boleh sesuka hatinya mengumumkan apa-apa pakej rangsangan ekonomi, walau bagaimana terdesak situasinya sekalipun, dengan tanpa mendapat kelulusan Kongres.
Pada hari Khamis, 26 Mac 2020, Senat membahas dan meluluskan rang undang-undang pakej rangsangan ekonomi $2 trilion dengan undian 90-0 dari para senator Republican dan Democrat.
Pada hari Jumaat, 27 Mac 2020, Dewan Perwakilan meluluskan rang undang-undang itu dengan undi suara oleh Republican dan Democrat setelah dibuka kepada perbahasan selama tiga jam.
Pada hari ini, Sabtu, 28 Mac 2020, Presiden Trump menandatangani rang undang-undang pakej rangsangan kewangan dengan amaun $2 trilion yang diluluskan Kongres itu dan dengan itu menjadikannya sebagai undang-undang bagi menangani masalah situasi semasa wabak COVID-19.
Pakej $2 trilion itu merupakan penggunaan perbelanjaan awam paling banyak dalam sejarah USA dan telah melalui kelulusan kedua-dua dewan Senat dan Perwakilan dalam Kongres.
Menarik perhatian bahawa terdapat seorang anggota Senat, iaitu Senator Rand Paul (Republican) dan empat anggota Dewan Perwakilan, iaitu Joe Cunningham (Democrat), Ben McAdams (Democrat), Mario Diaz-Balart (Republican) dan Mike Kelly (Republican) telah disahkan positif COVID-19. Mereka tak hadir sidang Kongres, namun Senat dan Dewan Perwakilan diteruskan bersidang tanpa kehadiran mereka.
Inilah keistimewaan sistem demokrasi di Amerika Syarikat. Apabila nak isytihar perang dengan Jepun semasa Perang Dunia Kedua dulu, Presiden Franklin Roosevelt minta persetujuan Kongres. Nak campurtangan di Vietnam dulu, Presiden Lyndon Johnson minta persetujuan Kongres. Begitu juga waktu nak perangi COVID-19, Presiden Trump tetap kena minta kelulusan Kongres.
Berbeza dengan situasi di Malaysia. Parlimen Malaysia, iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara diketepikan samasekali dalam penggunaan dana awam yang begitu besar dalam sejarah negara.
Semalam Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi RM250 bilion yang melibatkan penggunaan dana awam berbilion ringgit tanpa melalui kelulusan Parlimen.
Kenapa Parlimen tak dipanggil, sekalipun melalui Mesyuarat Khas, untuk membahas dan meluluskan penggunaan dana awam sebesar RM250 bilion itu?
Aku tidak menafikan, Kerajaan memang wajar memerlukan beratus bilion ringgit untuk menangani situasi masalah rakyat dalam ketika negara dilanda wabak COVID-19.
Namun demikian, Kerajaan tidak boleh menafikan, kini timbul keperluan perbelanjaan berbilion ringgit yang tak disebutkan dalam Akta Perbekalan 2020 yang diluluskan Parlimen pada tahun lalu, dan perlu dibentangkan dalam Parlimen.
Tidak dinafikan, oleh sebab pentingnya atau oleh sebab hal keadaan yang luar biasa keterdesakannya kerana COVID-19, keperluan perbelanjaan itu hendaklah dibentangkan di hadapan Dewan Rakyat sebagaimana menurut Perkara 101 dan 102 dalam Perlembagaan Persekutuan.
Hanya Parlimen yang berkuasa meluluskan tambahan perbelanjaan walau bagaimana pentingnya dan walau bagaimana luar biasa terdesaknya keadaan sekarang kerana COVID-19.
Persoalan demi persoalan berbangkit.
Kenapa Muhyiddin tak memanggil Mesyuarat Khas Parlimen untuk meluluskan keperluan perbelanjaan tambahan ini?
Apakah Muhyiddin bimbang kerana beliau belum membuktikan kerajaannya mempunyai majoriti di Dewan Rakyat?
Apakah Muhyiddin menyangka bahawa kerajaannya akan tumbang di Parlimen jika memanggil Mesyuarat Khas Parlimen mengenai COVID-19?
Aku fikir, mungkin juga ini yang menyebabkan Muhyiddin elak diri daripada memberitahu Mak Cik Kiah di TV semalam:
“This government may not be the government that you voted for.”
Tulisan: Abd Malek Hussin

0 Comments